Jumaat, 13 Mac 2009

PENGURUSAN KURIKULUM

1. Pengenalan

1.1. Kurikulum adalah satu program pendidikan yang digubal bagi memenuhi kehendak falsafah, matlamat pendidikan dan wawasan negara. Oleh itu peranan kurikulum di dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi serta menyemai,menanam nilai-nilai akhlak yang diingini, di samping menyampaikan ilmu pengetahuan.

1.2. Pengurusan kurikulum merangkumi bidang yang amat luas seperti peruntukan masa bagi sesuatu mata pelajaran dan penyebaran waktu, sukatan pelajaran, rancangan pengajaran tahunan, mingguan dan harian, jawatankuasa kurikulum sekolah, panitia mata pelajaran, pusat sumber, perkembangan staf, sistem penilaian dan pencerapan di dalam bilik darjah.

1.3. Penggubalan dan penyusunan kurikulum menengah dibuat berasaskan perakuan-perakuan para 206.1 dan 206.2 Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran 1979 mengikut prinsip-prinsip berikut :-

a. pendidikan umum untuk semua;

b. kesinambungan kurikulum sekolah rendah dengan menengah;

c. perkembangan bakat, minat dan kebolehan;

d. kesepaduan di antara intelek, rohani dan jasmani; dan

e. persediaan untuk dunia pekerjaan dan pengajian tinggi.

1.4. Peruntukan masa dan pemilihan mata pelajaran hendaklah mematuhi pekeliling-pekeliling yang berkuat kuasa iaitu:

a. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17 / 88 KP / (PPK)32 / 4 / Jld. VI(83) bertarikh 24 November 1988);

b. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8 / 1990 KP/ (PPK)Jld. Ix / (88) bertarikh 15 Disember 1990);

c. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6 / 1991 KP / (PPK)S32 / 4 / Jld.x(79) bertarikh 10 Julai 1991 dan

d. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 13/ 1991 KP/ (PPK)32 / 4Jld.xi(60) bertarikh 20 November 1991.

1.5. Di antara masalah yang didapati oleh JNSP di dalam perlaksanaan kurikulum di sekolah adalah:-

a. jawatankuasa kurikulum sekolah (JKS) dan panitia mata pelajaran (PMP) kurang berfungsi;

b. kurang penggunaan sumber sokongan;

c. kurang memahami konsep, matlamat, objektif dan perlaksanaan KBSM;

d. kurang penyeliaan perlaksanaan KBSM.

2. Perancangan Kurikulum

2.1. Rancangan Pengajaran:

a. Pengurusan masa yang kemas serta suasana bilik darjah yang memberangsangkan amat perlu diambil kira dalam menyediakan rancangan pengajaran bagi memastikan pelajaran yang disampaikan itu berhasil. Dengan merancang satu-satu pelajaran, guru dapat menentukan dengan lebih awal lagi mengenai :-

i. tajuk pelajaran;

ii. objektif pelajaran;

iii. aktiviti yang hendak dijalankan;

iv. alatan yang hendak digunakan;

v. nilai-nilai murni yang hendak diterapkan; dan

vi. tugasan yang hendak diberi.

b. Guru perlu menyediakan rancangan pengajaran tahunan, minggan dan harian.

c. Selaras dengan kehendak peraturan-peraturan Kursus Pengajian Sekolah-Sekolah dan pekeliling Kementerian Pendidikan, perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian:-

i. rancangan pengajaran hendaklah berdasarkan sukatan pelajaran semasa dan ia dirancangkan dengan terang dan jelas;

ii. format rancangan pengajaran yang disediakan oleh Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan di dalam buku panduan penyeliaan beberapa mata pelajaran dan Pusat Perkembangan Kurikulum boleh dijadikan panduan semasa menyediakan rancangan pengajaran;

iii. rancangan pengajaran tahunan, mingguan dan harian hendaklah sentiasa ada di dalam buku rekod persediaan mengajar (BRPM) bagi memudahkab rujukan. Bagaimanapun rancangan tahunan boleh disimpan di dalam fail khas sekiranya ruang yang disediakan dalam BPRM itu tidak mencukupi;

iv. rancangan pengajaran tahunan boleh ditulis tangan atau ditaip atau dalam bentuk lain asalkan ia adalah rancangan pengajaran semasa (untuk tahun berkenaan sahaja) dan bukannya yang telah digunakan pada tahun-tahun sebelumnya tanpa sebarang ubahsuai;

v. rancangan pengajaran tahunan perlu disediakan sendiri oleh guru yang mengajar mata pelajaran itu. Sungguhpun begitu, rancangan pengajaran yang disediakan oleh pihak sekolah boleh juga digunakan oleh guru dan jika perlu, guru bolehlah mengubahsuai rancangan pengajaran itu mengikut keadaan pelajaran kelas yang diajar. Rancangan pengajaran yang disediakan oleh pihak lain bolehlah dijadikan panduan dengan mengubahsuai mengikut keperluan pelajar dan kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah; dan

vi. rancangan pengajaran juga boleh disediakan dengan membahagikan isi kandungan sukatan pelajaran itu :-

Tingkatan I – III (6 penggal)

Tingkatan IV – V (4 penggal)

Perancangan juga hendaklah disediakan bagi kelas khas dan kelas tambahan.

d. Selain daripada menyediakan rancangan pengajaran dalam bilik darjah, guru-guru boleh merancang aktiviti-aktiviti tambahan berdasarkan sumber-sumber yang terdapat di sekolah seperti kerja-kerja projek, sudut warisan, sudut pidato dan taman sains.

3. Pengelolaan Kurikulum

3.1. Sebaran Waktu

Sebaran Waktu bagi sesuatu mata pelajaran dalam seminggu perlulah seimbang dari segi kekerapannya supaya daya ingatan pelajar-pelajar serta kemampuan mencari kesinambungan antara satu tajuk dengan tajuk sebelumnya mempunyai kaitan. Oleh itu bagi mata pelajaran asas, diajar pada tiap-tiap hari dan taburan waktunya patutlah dipertimbangkan dengan sebaik-baik mungkin. Misalnya mata pelajaran Pendidikan Jasmani sesi pagi, adalah lebih baik diajar sebelum rehat. Sebaliknya Pendidikan Jasmani sesi petang, adalah sesuai diajar selepas waktu rehat. Mata pelajaran yang difikirkan agak berat, eloklah diajar sebelum waktu rehat.

3.2. Jawatankuasa Kurikulum Sekolah (JKS):

a. JKS adalah merupakan badan professional yang perlu diwujudkan di sekolah. Jawatankuasa ini mempunyai fungsi dan peranan yang amat penting bagi melaksanakan pencapaian matlamat kurikulum.

b. Melalui jawatankuasa ini juga guru-guru akan dapat dibantu menerusi panitia-panitia, persatuan mata pelajaran dan lain-lain bahan sokongan bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

3.3. Tindakan JKS:

Tindakan yang perlu diambil oleh JKS adalah seperti berikut:-

a. menyediakan carta organisasi JKS;

b. menyediakan senarai tugas JKS;

c. menyediakan senarai ahli JKS di mana Pengetua menjadi pengerusi, GPK I sebagai setiausaha dan ahli jawatankuasanya terdiri daripada semua Guru Penolong Kanan, Penyelia Petang, Ketua-ketua Bidang, Guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Pusat Sumber dan Setiausaha Peperiksan;

d. menyediakan perincian tugas pengerusi dan setiausaha JKS;

e. mengadakan mesyuarat JKS sekurang-kurangnya sepenggal sekali. Surat panggilan mesyuarat disediakan dan minitnya direkodkan; dan

f. menyediakan sekurang-kurangnya tiga fail untuk JKS.

3.4. Panitia Mata Pelajaran

a. Penubuhan panitia mata pelajaran (PMP) di sekolah adalah berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan KP.Bil4/1986 bertarikh 13 Mac 1986.

b. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh sekolah bagi menentukan keberkesanan perjalanan PMP :-

i. menyediakan senarai tugas PMP;

ii. menyediakan perincian tugas pengerusi dan setiausaha PMP;

iii. mengadakan mesyuarat PMP sekurang-kurangnya sekali sepenggal. Surat panggilan mesyuarat disediakan dan minitnya disediakan;

iv. Menyediakan fail untuk PMP;

v. Menyediakan perancangan peningkatan prestasi matapelajaran berkenaan;

vi. Mengadakan sesi perkembangan staf;

vii. Membincangkan masalah pengajaran dan pembelajaran dan mencari jalan mengatasinya;

viii. Menyediakan senarai alat Bantu mengajar mata pelajaran berkenaan;

ix. Menyediakan senarai buku-buku rujukan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan;

x. Menubuhkan bank soalan; dan

xi. Membuat analisis soalan-soalan dan keputusan peperiksaan sekolah dan awam.



3.5. Selain daripada itu, sekolah juga perlu mengelolakan sudut-sufut mata pelajaran, ruang bacaan, papan kenyataan, bilik-bilik khas, TV dan bilik makmal perlu juga diberi perhatian.

4. Kepimpinan

4.1. Fungsi dan Peranan JKS

Di antara fungsi dan peranan JKS adalah seperti berikut:-

a. merancang perlaksanaan program kurikulum jangka pendek dan jangka panjang di peringkat sekolah untuk menentukan pencapaian kurikulum;

b. membincang dan menerima perancangan yang disediakan oleh setiap panitia mata pelajaran supaya selaras dengan program dan objektif sekolah;

c. mengemuka dan membincangkan cara-cara melaksanakan program kurikulum, mewujudkan sistem pengawalan, penyeliaan serta penilaian;

d. mengemuka dan membincangkan jumlah peruntukan kewangan sekolah bagi setiap mata pelajaran dan menyediakan garis panduan bagi panitia membuat anggaran perbelanjaan;

e. meneliti kesesuaian bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran seperti pemilihan buku teks, buku kerja; panduan guru, buku-buku rujukan serta merancang pembelian alat-alat APD/ ABM dan bahan-bahan sokongan lain;

f. memberi kesempatan supaya idea-idea baru yang berkaitan dengan pendidikan dibincangkan;

g. merancang program perkembangan staf dengan tujuan meningkatkan lagi tahap kebolehan dan kepakaran guru;

h. merancang penggunaan secara berkesan kemudahan, alat dan bahan sokongan seperti Pusat Sumber Sekolah, Makmal, Bengkel, Bilik ERT dan sebagainya;

i. membincang isu-isu dan masalah-masalah pendidikan yang memerlukan perhatian khusus seperti pelajar lambat, lemah di dalam sesuatu mata pelajaran, pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan dan perhatian khas;

j. mengedarkan bahan-bahan profesional seperti buku panduan, makalah dan bahan-bahan semasa yang berkaitan dengan perubahan dan perkembangan kurikulum; dan

k. membina kerjasama di antara jabatan.

4.2. Pemilihan Mata Pelajaran:

Di dalam perlaksanaan KBSM, pengetua-pengetua sekolah hendaklah memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut :-

a. mata-mata pelajaran teras wajib diambil oleh semua pelajar kerana mata-mata pelajaran ini memenuhi prinsip-prinsip pendidikan umum untuk semua dan prinsip kesinambungan di antara sekolah rendah dengan menengah. Walau bagaimanapun, pelajar di SM Vokasional dikecualikan daripada mengambil mata pelajaran Sejarah dalam kumpulan teras;

b. setiap pelajar dikehendaki mengambil sekurang-kurangnya dua mata pelajaran elektif tetapi tidak melebihi empat. Mata-mata pelajaran tersebut hendaklah dipilih daripada sekurang-kurangnya satu mata pelajaran daripada kumpulan II (Vokasional dan Teknologi). Mata-mata pelajaran elektif digubal berdasarkan prinsip-prinsip untuk perkembangan bakat, minat dan kebolehan serta persediaan untuk dunia pekerjaan dan pengajian tinggi;

c. satu perkara yang amat penting yang perlu dilakukan oleh sekolah ialah memberi kaunseling pemilihan mata pelajaran bagi:-

i. membantu pelajar memilih mata-mata pelajaran yang sesuai
dengan prestasi, kebolehan, bakat, minat dan cita-cita mereka;

ii. memastikan pelajar membuat pilihan yang terbaik dan memberi faedah kepada diri, masyarakat dan negara;

iii. memastikan bahawa keperluan-keperluan pembangunan negara dan bangsa dapat dipenuhi; dan

d. untuk membantu guru-guru kaunseling dan guru-guru lain, Kementerian Pendidikan telah menyediakan sebuah buku panduan bertajuk “Buku Panduan Pemilihan Mata Pelajaran Elaktif Sekolah Menengah Atas (1991)”.

4.3. Peranan Guru Kanan Mata Pelajaran Sekolah Menengah:

Panduan senarai tugas guru kanan mata pelajaran tedapat di dalam pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia KP(BS)8542/PEK/(9) bertarikh 23 Mac 1992.

4.4. Fail Panitia

Tiap-tiap panitia mata pelajaran sekurang-kurangnya ada satu fail yang dikendalikan oleh pejabat. Surat panggilan mesyuarat hendaklah dibuat secara rasmi dan agendanya mengandungi pengesahan minit mesyuarat yang lalu dan perkara-perkara berbangkit. Ada perkara-perkara profesional dibincangkan di dalam masyuarat panitia.




5. Pengawalan

5.1. Tugas dan fungsi pengetua sebagai pemimpin profesional adalah untuk memastikan kejayaan perlaksanaan kurikulum di sekolahnya. Oleh itu satu sistem pengawalan perlu diwujudkan. Di antaranya ialah :-

a. ujian formatif dan sumatif;

b. ujian penggal, peperiksaan dan tindakikut;

c. pengendalian rekod penilaian;

d. penubuhan item bank;

e. penyeliaan kerja guru;

f. penyeliaan kerja pelajar; dan

g. pencerapan dalam bilik darjah.

5.2. Penyeliaan dan Pencerapan:

Keberkesanan perlaksanaan kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi dan sistematis.

a. Model Penyeliaan:

i. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di kelas oleh pengetua bertujuan mempertingkatkan mutu profesionalisme pengetua dan guru-guru. Melalui penyeliaan dan hubungan professional yang positif antara pengetua dengan guru dan guru dengan guru juga dapat dipupuk dan diperkukuhkan. Guru-guru dapat melaksanakan tugas harian mereka dengan lebih berkesan dan dengan sikap yang pebih positif.

ii. Takrif umum mengenai penyeliaan ini adalah sebagai satu proses yang membimbing yang bertujuan untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme guru-guru. Berdasarkan takrif itu boleh dibina satu model penyeliaan pengajaran iaitu :-

- perbincangan sebelum pemerhatian;
- pemerhatian di dalam bilik darjah; dan
- perbincangan selepas pemerhatian.



b. Perbincangan Sebelum Pemerhatian:

i. Perbincangan sebelum pemerhatian bertujuan mengurangkan sebarang ketegangan yang mungkin timbul di antara pihak pengetua dengan guru. Perbincangan dalam suasana yang tidak formal serta mesra adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat seperti latarbelakang pelajar, objektif pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti-aktiviti yang hendak dijalankan.

ii. Dalam perbincangan tersebut perkara berikut perlu disemak:-
- kebolehan pelajar;
- pelajar yang menghadapi masalah pelajaran dan tingkahlaku;
- kemajuan pencapaian pelajar setakat ini;
- objektif pelajaran;
- kaedah pengajaran;
- pilihan aktiviti pembelajaran;
- alat/ bantu mengajar; dan
- kaedah penilaian.

iii. Pada peringkat ini adalah elok sekiranya pengetua memberi kepercayaan kepada guru yang akan diselia dengan tidak memberi komen yang boleh merubah rancangan pengajaran yang akan diselia. Sebarang syor yang dibuat pengetua di dalam sesi perbincangan sebelum pemerhatian boleh dilihat oleh guru berkenaan sebagai mempertikaikan kewibawaannya, lantas boleh mengeruhkan perhubungan pengetua dengan guru sebelum penyeliaan dapat dilakukan lagi.

c. Semasa Pemerhatian:

i. Selepas maklumat dapat dikumpul, pengetua boleh merancangkan bagi memerhatikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Peringkat ini adalah paling mustahak di dalam proses penyeliaan. Pada peringkat inilah segala data pemerhatian, interaksi antara guru dengan pelajar dan sebaliknya dapat diperolehi. Semasa pemerhatian dibuat, tumpuan pengetua boleh diberikan kepada aspek-aspek berikut :-

- masa yang digunakan untuk menguruskan bilik darjah untuk pengajaran dan pembelajaran;
- keberkesanan guru menerangkan konsep;
- teknik penyoalan;
- jenis-jenis soalan yang guru kemukakan;
- tindak balas guru terhadap jawapan pelajar-pelajar;
- kesesuaian aktiviti pembelajaran;
- keberkesanan strategi pengajaran;
- interaksi guru-pelajar, pelajar-guru dan pelajar-pelajar; dan
- pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran.

ii. Selepas data pemerhatian dikumpulkan dengan menggunakan instrumen-instrumen penyeliaannya, ia perlu dicerakinkan. Maklum balas kepada guru hendaklah diberikan oleh pengetua dalam perbincangan selepas pemerhatian. Penglibatan pihak guru adalah amat mustahak pada peringkat ini kerana mereka akan diberi galakan dan bimbingan. Ia bukan merupakan satu kesempatan mengenakan hukuman kepada guru yang diselia itu.

d. Selepas Pemerhatian:

i. Adalah dicadangkan perbincangan selepas pemerhatian itu memberi tumpuan kepada aspek-aspek berikut :-

- tingkahlaku pengajaran guru dan bukannya personaliti guru;
- data pemerhatian dan bukannya andaian pengetua; dan
- perkara-perkara yang jelas yang dapat diperhatikan.

ii. Maklum balas yang disampaikan kepada guru hendaklah dilakukan dengan cara yang betul kerana ia akan memberi kesan kepada perhubungan pengtua dengan guru serta kerjasama guru. Di antara pendekatan yang positif yang boleh menyokong pembinaan iklim positif adalah :-

- berkongsi maklumat antara pengetua dengan guru;
- cadangan-cadangan pengetua hendaklah merupakan pilihan dan bukan satu yang terbaik;
- mementingkan apa sebenarnya yang diperlukan dan boleh digunakan; dan
- mementingkan kepada perkara-perkara yang boleh dilaksanakan oleh guru.


KURIKULUM PENDIDIKAN SENI SEKOLAH MENENGAH

Pengenalan

Pendidikan seni dalam KBSM ditujukan ke arah melengkapkan perkembangan diri seseorang melalui nilai peribadi individu dan pemupukan kesedaran terhadap kegunaan seni dalam kehidupan seharian serta penghargaan hasil seni sebagai sumbangan kepada warisan budaya dan identiti bangsa dan negara.

Dalam proses menghasilkan karya seni, penglibatan pelajar tidak sahaja memperkembangkan perasaan estetik dan daya kreatif melalui penajaman daya intuisi, persepsi dan konsepsinya, malah boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat dan kemampuan diri dalam bidang seni. Sifat-sifat ini akan menjadikan pelajar lebih berperasaan, bersikap sederhana dan berkemampuan dalam kehidupan.

Matlamat

Pendidikan Seni di peringkat sekolah menengah bertujuan melahirkan warga Negara yang berbudaya khususnya individu yang imaginatif, kreatif, inovatif, berpengetahuan dan peka terhadap ciri-ciri estetik. Ia adalah untuk membolehkan pelajar mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam urusan hidupnya dan alam sekeliling serta menghargai dan berbangga dengan seni di dalam urusan hidupnya dan alam sekeliling serta menghargai dan berbangga dengan seni di dalam budaya kebangsaan.

Objektif

Objektif Pendidikan Seni adalah untuk membolehkan pelajar:

a. Memperkembangkan kefahaman dan kemahiran mengenai asas-asas senireka, dan kemahiran menggunakan pelbagai teknik, media dan proses.
b. Memperkembangkan daya konsepsi visual dan kreatif melalui proses inkuari dan penerokaan.
c. Memperkembangkan kemahiran menggunakan prinsip rekaan dan struktur rekaan dalam kegiatan seni.
d. Memperkembangkan kemahiran menggunakan prinsip rekaan dan struktur rekaan dalam kegiatan seni.
e. Memahami dan menghargai peranan senireka dalam kegiatan seharian dan rekreasi serta perkembangan teknologi pembuatan dan peluang kerjaya.
f. Memupuk dan mengamalkan sikap yakin dan bertanggungjawab, bekerjasama dan berdisiplin di dalam proses pengolahan dan penghasilan seni.
g. Mengamalkan sikap menghargai keindahan dan keharmonian alam sekitar dan budaya kebangsaan serta berusaha memeliharanya.
h. Memahami dan menghargai sumbangan tokoh-tokoh seni dan kraf dari pada pelbagai bidang seni, peranan teknologi dalam kegiatan senireka tempatan dan kebangsaan.
i. Memahami aspek kesamaan dan kelainan antara seni budaya kebangsaan dengan budaya-budaya lain dan menghargai serta menghayatinya.

Organisasi Kandungan

Kurikulum Pendidikan Seni disusun dengan mengandaikan bahawa setiap pelajar berkemampuan berkomunikasi dengan yakin melalui seni. Oleh yang demikian, kajian akan dilakukan di dalam konteks kehidupan seharian dan persekitaran serta mengikut konteks budaya Malaysia.



Kandungan dibahagikan kepada tiga bahagian;

a. Asas-asas senireka
b. Organisasi Rekaan
c. Pemahaman dan penghargaan

Ketiga-tiga bahagian ini adalah saling berkait kerana ianya merupakan kandungan serta proses yang sama dalam sesuatu kegiatan seni, aspek-aspek tertentu daripada ketiga-tiga bahagian ini akan dilibatkan sebagai satu rangkaian kegiatan yang integratif.

Asas-Asas Seni Reka

Asas Seni Reka mengandungi tiga komponen iaitu unsur-unsur seni, prinsip rekaan dan struktur rekaan yang diajar melalui kaedah inkuiri dan penerokaan. Guru seni perlu merancang aktiviti kajian asas untuk menerangkan sifat dan fungsi ketiga-tiga komponen asas-asas senireka.

Bahagian ini merupakan persediaan asas kepada perkembangan dan aplikasi kemahiran gubahan, persepsi seni terhadap organisasi rekaan serta pemahaman dan peghargaan. Bahagian asas-asas senireka perlu didahului dan dipelajari secara sistematis.

Organisasi Rekaan

Bidang ini menitikberatkan aplikasi asas senireka untuk menghasilkan bentuk-bentuk seni dan kraf yang memberi perhatian kepada seni dan kraf tempatan dan kebangsaan.

Pendedahan adalah terhadap teknik-teknik tertentu dalam seni dan kraf berkenaan melalui pengolahan bahan dan alat dalam berbagai-bagai media, yang mengambilkira latar belakang budaya dan nilai-nilai masyarakat yang terdapat dalam jenis seni yang diperkenalkan.

Bidang- bidang dalam bahagian ini akan meliputi bidang komunikasi, barang-barang kraf dan seni di persekitaran.


Pemahaman Dan Penghargaan

Bahagian ini mengandungi kajian fahaman dan penghargaan terhadap hasil seni dan kraf dalam kehidupan, perkembangan seni dalam budaya kebangsaan dan seni dalam budaya lain khususnya negara-negara Asean, serta tokoh-tokoh dan pandai tukang tempatan dan luar negeri.

Kajian menekankan sifat-sifat estetik, fungsi atau makna (nilai-nilai sosio-budaya), ciri-ciri keaslian sesebuah karya, perkembangan seni dalam budaya kebangsaan, bahawa bentuk seni rakyat (folk art) yang mula terdapat adalah benda-benda berfungsi kerana keperluan hidup di masa itu.


PENGURUSAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI

Pengenalan

Pengurusan mata pelajaran Pendidikan Seni yang baik dapat memperlihatkan perancangan yang teliti, pengelolaan yang sistematik, ciri-ciri kepimpinan yang dinamis serta pengawalan yang berkesan. Justeru itu, aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum dapat dilaksanakan dengan licin dan sempurna.

Panitia Pendidikan Seni

Panitia Pendidikan Seni adalah sebuah badan ikhtisas yang dianggotai oleh semua guru yang mengajar Pendidikan Seni di sesebuah sekolah.

Tugas-Tugas Panitia;

a. Menentukan penguasaan sukatan pelajaran Pendidikan Seni yang berkuatkuasa pada masa yang berkenaan.
b. Menyedia dan meyelaraskan rancangan pengajaran bagi semua kelas mengikut tingkatan dan aliran.
c. Menentukan adanya rancangan penggalan, mingguan dan harian yang berasaskan Sukatan Pelajaran semasa.
d. Merancang pembelian alat/bahan yang perlu untuk pengajaran dan pembelajaran di semua tingkatan.
e. Mencadangkan pembelian buku-buku rujukan seni yang sesuai untuk perpustakaan sekolah.
f. Mengumpul berbagai jenis alat bantu mengajar untuk kegunaan guru Pendidikan Seni dalam pengajaran dan pembelajaran.
g. Menyelaras kertas-kertas soalan ujian / peperiksaan bagi semua tingkatan.
h. Mengkaji dan menganalisis keputusan ujian / peperiksaan supaya kelemahan-kelemahan yang dikesan dapat diatasi.
i. Mengumpul kertas soalan tahun-tahun yang lalu serta kertas soalan peperiksaan yang disediakan oleh sekolah-sekolah lain untuk kajian guru di kelas peperiksaan . Mengadakan bank soalan untuk mata pelajaran.
j. Mengadakan sudut mata pelajaran di bilik darjah, di sudut-sudut persekitaran sekolah, perpustakaan dan bilik-bilik lain.


Mesyuarat Panitia

a. Panitia Pendidikan Seni hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam sepenggal untuk membincangkan hal-hal ikhtisas dan perkara lain yang berkaitan dengan mata pelajaran.
b. Minit mesyuarat panitia perlu direkodkan di dalam sesebuah buku / fail khas oleh seorang setiausaha yang telah dilantik. Buku / fail minit mesyuarat itu hendaklah dikemukakan kepada pengetua selepas sesuatu mesyuarat panitia diadakan untuk makluman dan tindakannya. Minit mesyuarat hendaklah disebarkan kepada semua ahli panitia.

Guru Kanan Mata Pelajaran

Seorang guru seni yang berpengkhususan Pendidikan Seni dan berpengalaman mengajar mata pelajaran tersebut hendaklah dilantik untuk mengetuai Panitia Pendidikan Seni. Perlantikan itu hendaklah juga mengambil kira daya kepimpinan, minat serta kecenderungan guru yang berkenaan.

Guru kanan Pendidikan Seni secara automatik menjadi ahli jawatankuasa kurikulum sekolah.

Perincian tugas guru Kanan Pendidikan Seni;

a. Guru Kanan Pendidikan Seni menjadi pengerusi kepada semua mesyuarat panitia.
b. Guru Kanan menyelia perjalanan Panitia Pendidikan Seni agar dapat bergerak dan berfungsi dengan berkesan.
c. Memperolehi dan membekalkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni yang berkuatkuasa untuk panduan semua ahli panitia.
d. Menguruskan buku stok Pendidikan Seni dengan teratur dan kemaskini.
e. Menyelenggarakan bilik seni dan peralatan termasuk menyediakan peraturan-peraturan penggunaanya.
f. Menyedia dan mengadakan rancangan perkembangan staf bagi guru-guru mata pelajaran Pendidikan Seni dalam bentuk bengkel, ceramah, demonstrasi, perbincangan dan aktiviti-aktiviti lain yang dapat mempertingkatkan kecekapan guru Pendidikan Seni.
g. Menyediakan anggaran perbelanjaan sebaik-baiknya pada setiap akhir tahun persekolahan bagi tahun persekolahan berikutnya dan diserahkan kepada pengetua.
h. Menyelaraskan dan menyemak penyediaan rancangan pengajaran penggal. Rancangan pengajaran ini diselaraskan di antara guru-guru dalam sesuatu tingkatan dan juga di antara tingkatan supaya terdapat kesinambungan.
i. Mengkaji dan menganalisis keputusan peperiksaan pelajar dalam tahun persekolahan.
j. Mengadakan mesyuarat panitia secara berkala, sekurang-kurangnya sekali sepenggal dan mengadakan perjumpaan secara tidak formal pada bila-bila masa untuk memikirkan dan membincangkan masalah-masalah yang berkaitan dengan kaedah mengajar serta mencari penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut.
k. Menyelenggara fail-fail panitia yang mengandungi minit mesyuarat laporan panitia, surat menyurat dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan kemaskini.
l. Mempertingkatkan kualiti kerja amali untuk penguasaan kemahiran Pendidikan Seni yang berkaitan.
m. Membantu pihak pengetua dalam rancangan pencerapan guru seni.
n. Mengadakan koleksi alat bantu mengajar secara kolektif.
o. Mencadangkan kepada pihak pengetua mengenai pemilihan guru Pendidikan Seni.
p. Menjalankan peranan sebagai “PLAN” dan “INNOVATOR”.


Tenaga Pengajar Dan Pengagihan Tugas

Pengajaran Pendidikan Seni yang berkesan adalah bergantung kepada sikap, keupayaan, kemahiran, pengetahuan dan minat guru itu sendiri. Oleh itu, pemilihan tenaga pengajar yang sesuai adalah penting bagi memastikan kejayaan mata pelajaran keseluruhannya.

Guru-guru yang sepatutnya ditugaskan mengajar Pendidikan Seni adalah mereka yang berkelulusan seperti berikut:

a. Ijazah Seni Halus, Universiti Sains Malaysia.
b. Diploma ATD, Institut Teknologi Mara
c. Sijil Khas Pendidikan Seni, Maktab Perguruan Ilmu Khas.
d. Sijil Perguruan (Opsyen Pendidikan Seni ) dari Maktab Perguruan.

Sekiranya tiada, maka bolehlah pihak pentadbir sekolah menggunakan guru-guru lain dan seelok-eloknya mereka ini yang pernah mempelajari Pendidikan Seni pada peringkat Tingkatan Lima dan perlulah juga mempunyai minat dalam mata pelajaran Pendidikan Seni.

Guru kanan Pendidikan Seni sebaik-baiknya diberi seberapa banyak waktu pengajaran Pendidikan Seni, sejajar dengan tanggungjawab dan kelayakan ikhtisasnya. Seboleh-bolehnya cuba elakkan daripada terlalu ramai guru yang ditugaskan mengajar Pendidikan Seni di sesebuah sekolah. Elakkan daripada menugaskan guru mengajar Pendidikan Seni semata-mata bertujuan untuk mencukupkan/ mengimbangkan waktu pengajaran mereka sahaja.

Peruntukan Masa / Sebaran Waktu

Peruntukan masa Pendidikan seni di Sekolah Menengah seperti yang termaktub dalam Kursus Pengajian sekolah-sekolah adalah seperti berikut;

a. Kelas Peralihan - 80 minit
b. Tingkatan Satu - 80 minit
c. Tingkatan Dua - 80 minit
d. Tingkatan Tiga - 80 minit
e. Tingkatan Empat (sastera) - 80 minit
f. Tingkatan Lima ( sastera ) - 120 minit
g. Tingkatan Enam ( sastera ) - 120 minit

Dalam menjayakan susunan jadual waktu pihak pentadbir sekolah perlulah mengaturkan waktu berganding bagi mata pelajaran ini.


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengenalan
Proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni hendaklah sentiasa berpusatkan kepada pelajar melalui aktiviti interaksi lisan yang merangsangkan pemikiran secara rasional dan logik. Aktiviti seni yang dijalankan mestilah sesuai dengan minat dan keperluan dan kebolehan pelajar, mengembangkan daya kreatif serta menajamkan daya pengamatan dan diskriminasinya. Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu termasuk penyerapan nilai-nilai murni masyarakat hendaklah diberi keutamaan dalam pelajaran Pendidikan Seni.

Sebagai panduan kepada guru-guru seni untuk mengajar mata pelajaran ini dengan lebih sempurna dan berkesan, perhatian yang sewajarnya hendaklah diberikan kepada aspek-aspek yang berikut:

a. Rancangan pengajaran
b. Persediaan guru dan pelajar
c. Kaedah pengajaran
d. Pengelolaan pelajaran
e. Teknik penyoalan
f. Penyertaan Pelajar
g. Pemupukan nilai estetika dan etika
h. Penyerapan nilai-nilai murni masyarakat
i. Penilaian kemajuan pelajar


Rancangan Pengajaran

Rancangan pengajaran adalah berdasarkan kepada pekeliling Kementerian Pelajaran 256, Peraturan dan Kursus Pengajian Sekolah-sekolah yang mensyaratkan setiap guru mempunyai rekod persediaan mengajar penggal, mingguan dan harian.

Tujuan Rancangan Mengajar

Supaya guru membuat persediaan yang rapi agar dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dengan memberi tumpuan kepada:

i. Perkembangan pelajaran yang berperingkat-peringkat;
ii. Kesinambungan rancanganh pengajaran;
iii. Kesinambuangan aktiviti;
iv. Perkembangan daya kreatif pelajar
v. Kepelbagaian bahan-bahan seni;
vi. Penyesuaian alat/ bahan;
vii. Kesenimbungan gerakkerja individu/ kumpulan;
viii. Aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah.

Format Rancangan Pengajaran

Sukatan Pelajaran

Setiap guru perlu mempunyai Sukatan Pelajaran semasa untuk rujukan bila-bila perlu. Huraian boleh dirujuk semasa menyediakan rancangan pengajaran.

Rancangan Penggal

Berdasarkan Sukatan Pelajaran dan huraian yang dibahagikan mengikut penggal. Perkara–perkara yang perlu dinyatakan ialah:
- Tajuk
- Isi Kandungan
- Aktiviti
- Alat/ Bahan
- Nilai Murni

Rancangan penggal yang disediakan perlulah merangkumi aspek-aspek:

- Asas-asas Senireka
- Organisasi Rekaan
- Pemahaman dan Penghargaan

Rancangan penggal yang disediakan mestilah mengikut peringkat perkembangan dan seboleh-bolehnya mempunyai kaitan di antara tajuk yang dirancang.

Rancangan Mingguan

Rancangan mingguan adalah perincian daripada rancangan penggal yang mana rancangan ini menunjukkan kesinambungan dan perkembangan pelajaran dari seminggu ke seminggu.

Perkara yang perlu ada dalam rancangan mingguan:
- Tajuk
- Objektif Pengajaran
- Aktiviti yang hendak dilaksanakan
- Alat/ Bahan/ ABM
- Nilai Murni.

Rancangan Harian

i. Rancangan harian perlu disediakan dengan jelas dan tepat. mempunyai urutan, pernyataan objektif, aktiviti dan strategi pengajaran menjadi fokus.

ii. Pemilihan objektif pengajaran mestilah tepat dan bersesuaian dengan kemampuan pelajar. Unsur-unsur nilai yang hendak diserapkan juga dinyatakan dengan jelas dan sebaik-baiknya mempunyai kaitan dengan tajuk.

iii. Rancangan harian ini juga hendaklah menggambarkan kesinambungan pengajaran sebelumnya. Dalam pada itu ia perlu juga mengambil kira tahap perbezaan kebolehan pelajar di antara kelas. Perkara yang perlu dimasukkan dalam rancangan pengajaran harian:

- Tajuk
- Objektif
- Kemahiran
- Nilai Murni

Persediaan Guru dan Pelajar

Persediaan Guru

Di samping perancangan penggal, mingguan dan harian, guru hendaklah:

i. Mempunyai pengetahuan serta kemahiran terhadap topik/ tajuk dan kaedah pengajaran yang sesuai;
ii. Sentiasa bersedia dengan alat bahan pelajaran yang hendak digunakan;
iii. Memperolehi berbagai jenis alat bantu mengajar yang sesuai;
iv. Sentiasa peka dan memahami tentang keperluan dan masalah pelajar;
v. Menentukan tempat yang sesuai untuk pengajaran.


Persediaan Pelajar

Dalam proses pembelajaran, pelajar seharusnya bersedia dengan :

i. Alat-alat dan bahan yang akan digunakan dalam proses pembelajaran;

ii. Membuat kajian dan rujukan yang diarahkan sebelum pelajaran yang diarahkan serta menyediakan soalan-soalan, idea-idea yang relevan;

iii. Buku-buku skrap, catatan, buku lukisan dan buku lakaran.



Kaedah Pengajaran Pendidikan Seni

Pengenalan

Kejayaan sesuatu pelajaran Pendidikan Seni banyak bergantung kepada seorang guru yang penuh komitmen, serta kreatif dan sentiasa ingin menambah pengetahuan serta dapat pula memillih kaedah pengajaran yang wajar bagi pelajarannya.

Pemilihan kaedah pengajaran pendidikan seni hendaklah sesuai dengan objektif dan isi kandungan pelajaran, pengetahuan dan pengalaman serta minat pelajar dan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang tersedia. Pelbagai kaedah yang boleh digunakan termasuklah kaedah inkuiri-penemuan, penerangan dan demonstrasi, projek individu/ kumpulan, lawatan/ kegiatan di luar bilik darjah, tayangan bahan-bahan visual, lakonan dan sebagainya.

Kaedah pengajaran yang dipilih hendaklah berpusatkan pelajar supaya pelajar dapat menyertai proses pengajaran dan pembelajaran dengan aktif. Setiap pelajaran pendidikan seni seharusnya mewujudkan peluang-peluang untuk pelajar memperoleh ilmu pengetahuan, skop untuk peningkatan daya pemikiran dan daya kreatif individu secara menyeluruh dan bersepadu. Pemupukan dan dan penyerapan nilai-nilai estetika dan murni serta peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia seperti mana yang disarankan dalam strategi pengajaran dan pembelajaran KBSM.

Guru-guru seni digalakkan mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya penyampaikan pelajaran adalah menarik dan merangsang pelajar. Seorang guru seni yang berkesan perlu mengetahui beberapa kaedah pengajaran untuk membolehkannya memilih kaedah atau gabungan kaedah yang sesuai untuk sesuatu tajuk pelajaran. Keadaan kelas, kebolehan dan minat pelajar, alat dan bahan yang ada serta kecenderungan guru sendiri.


Berikut adalah diskripsi beberapa kaedah pengajaran yang sesuai untuk mata pelajaran Pendidikan Seni.

Kaedah Inkuiri-Penemuan

Kaedah ini adalah paling sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni, khususnya untuk aktiviti-aktiviti pembelajaran berkaitan dengan asas-asas seni reka dan organisasi rekaan. Kaedah ini melibatkan pelajar secara aktif dalam proses mengingat kembali, memerhati dan mendengar, menyoal, menyiasat serta mengumpul dan mengelaskan maklumat, mengkaji, melakar, menyelidik, menganalisis, membanding serta menaakul. Proses yang sedemikian tentunya dapat meningkatkan daya pemikiran, daya kreatif dan pemahaman pelajar.

Pengajaran dan pembelajaran secara inkuiri-penemuan boleh dirancang dan dilaksanakan bagi individu atau kumpulan bersesuaian dengan objektif dan aktiviti pelajaran yang telah ditentukan. Kaedah tersebut adalah sesuai untuk aktiviti yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah.

Banyak faedah yang diperolehi menerusi kaedah pengajaran inkuiri antara lainnya ialah:

a. Pelajar mempelajari sesuatu dengan bimbingan guru yang minimum;
b. Hasil-hasil dari kajian dan penerokaan adalah melalui usaha pelajar sendiri;
c. Pelajar mempelajari cara-cara mendapatkan sesuatu yang diperlukan;
d. Proses inkuiri-penemuan menajamkan deria pelajar khususnya deria penglihatan dan perasaan;
e. Pendedahan pelajar kepada pelbagai jenis bahan sumber pembelajaran;
f. Latihan dalam proses mengesan dan menyelesaiakan masalah.

Persediaan dan perancangan guru hendaklah teliti sebelum pelajar diberi sesuatu
aktiviti yang dijalankan. Guru hendaklah menentukan jenis aktiviti dan langkah-langkah untuk menjalankannya. Pelajar perlu diberitahu sumber-sumber yang hendak dirujuk.

Kaedah Penerangan dan Demonstrasi

Kaedah penerangan dan demonstrasi atau tunjuk ajar merupakan kaedah yang sering digunakan oleh guru seni. Kaedah tersebut lebih berpusatkan guru dan penyampaian isi kandungan pelajaran adalah melalui penerangan alat/ bahan dan atau tunjuk ajar sesuatu teknik menghasilkan 2D dan 3D. Penyertaan murid digalakkan dalam aktiviti lisan dan demonstrasi.

Kaedah Projek Individu/ Kumpulan

Kaedah projek individu/ kumpulan adalah sesuai untuk sesuatu aktiviti yang dirancang dan mengambil masa yang lebih panjang. Pelajar dikehendaki mengumpul bahan yang diperlukan untuk aktiviti projek. Kaeadah ini adalah sesuai untuk kedua-dua jenis aktiviti 2D dan 3D.

Lawatan/Kegiatan di luar Bilik Darjah

Dalam P&P Pendidikan Seni khususnya aspek asas seni reka, lawatan dan kegiatan di luar bilik darjah adalah kaedah yang paling sesuai digunakan. Kaedah ini paling sesuai apabila kajian-kajian penerokaan perlu dijalankan dengan menggunakan bahan-bahan dari alam sekitar. Kaedah ini juga boleh digabungkan dengan kaedah inkuiri-penemuan pada masa tertentu.

Tayangan Bahan-bahan Visual

Tayangan bahan-bahan visual seperti lutsinar OHP dan gambar-gambar salid adalah di antara keadah yang dapat memberi motivasi serta menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan pelajar. Tayangan bahan-bahan visual itu menghidupkan pelajaran dalam bilik darjah sambil menajamkan fokus pemerhatian pelajar. Penerangan konsep-konsep lebih berkesan jika dibantu dengan teknik tayangan bahan-bahan visual. Guru-guru seni hendaklah berusaha mengadakan koleksi bahan-bahan tersebut untuk memudahkan penyampaian pelajaran mereka serta mewujudkan motivasi di kalangan pelajar.

Pengelolaan Pelajaran

Pengelolaan masa bagi sesuatu pelajaran bolehlah dibahagikan kepada tiga peringkat:

i. Pengenalan
ii. Perkembangan/ Kegiatan
iii. Penutup.

Masa bagi sesuatu peringkat tidak ditetapkan. Terpulanglah kepada budibicara guru untuk menentukannya. Apa yang diharapkan setelah sesuatu pelajaran itu dijalankan, pelajar akan dapat memperoleh pengetahuan, kemahiran serta didikan melalui topik yang disampaikan.

Pada peringkat pengenalan, guru hendaklah berbincang, bercerita, bersoaljawab dengan pelajar tentang tajuk serta perkara yang berkaitan. Guru haruslah mengaitkan tajuk dengan minat, pengetahuan dan pengalaman pelajar dalam kehidupan sehariannya. Aktiviti lisan yang dijalankan perlulah melibatkan pelajar secara aktif. Satu aspek yang penting lagi ialah alat-alat bantu mengajar seperti bahan siap, contoh-contoh gambar, benda maujud dan bahan semulajadi eloklah digunakan supaya penyampaian akan lebih berkesan.

Arahan untuk memulakan kerja secara individu atau kumpulan diberi setelah guru merasakan pengenalan pelajaran telah dapat difahami oleh pelajar. Tugas guru pada peringkat ini adalah memberi bimbingan kepada pelajar yang masih memerlukan bimbingan secara individu. Pada peringkat ini juga, latihan-latihan untuk perkembangan diri seperti bersifat mulia dan berbudi pekerti tinggi dapat dipupuk. Guru perlulah memberikan perhatian yang sewajarnya dalam perkara seperti yang tersebut di atas.

Pada peringkat penutup pula guru hendaklah menjalankan aktiviti penilaian hasil kerja pelajar di mana guru memberi komen, nasihat, kritikan positif dan penjelasan ke atas kekuatan dan kelemahan. Di samping itu, guru hendaklah menggalakkan pelajar memberi komen, bersoaljawab dan mengkritik hasil kerja yang ditunjukkan.


Teknik Penyoalan

Kemahiran guru menyoal dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni adalah satu faktor utama yang mendorong peningkatan daya intelek pelajar. Justeru itu , seorang guru seni hendaklah berkemahiran membentuk soalan-soalan yang bermutu tinggi untuk mencabar dan mengembangkan daya pemikiran pelajar. Beliau harus juga mahir mengemukakan soalan-soalannya dengan berbagai-bagai teknik yang memberi peluang kepada semua pelajar untuk menjawab mengikut kebolehan masing-masing. Sambil menyoal, beliau juga mengetahui bagaimana memberi bimbingan yang sewajarnya ke arah menemui jawapan atau menyelesaikan sesuatu masalah berkaitan dengan tajuk pelajaran, pengetahuan dan pengalaman pelajar.

Dalam aktiviti bersoaljawab, guru seni diingatkan supaya menimbangkan perkara-perkara yang berikut:

a. soalan hendaklah mudah difahami;
b. soalan dikemukakan sebelum individu diminta memberi jawapan;
c. Memberi masa untuk pelajar berfikir;
d. Setiap pelajar diberi peluang menjawab;
e. Memberi bimbingan yang sewajarnya untuk menjawab soalan;
f. Soalan lebih mudah bagi pelajar lambat untuk membina keyakinan;
g. Memberi pujian atau komen positif terhadap jawapan baik sebagai galakan dan pengukuhan;
h. Menggalakkan pelajar untuk mengemukakan soalan;
i. Mengelakkan soalan-soalan yang hanya memerlukan jawapan “Ya” atau “Tidak”;
j. Mengemukakan soalan-soalan bercapah yang mencungkil pemikiran pelajar seperti soalan-soalan mengingat kembali, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian.

Penyertaan Pelajar

Interaksi Lisan

Pelajaran Pendidikan Seni yang berjaya, melibatkan pelajar dengan aktif di setiap peringkat penyampaian pelajaran. Dalam aktiviti interaksi lisan khususnya pada awal pelajaran, guru hendaklah meggalakkan para pelajar untuk bercakap serta mengeluarkan pendapat dan idea mereka mengenai tajuk pelajaran berpandukan pengetahuan dan pengalaman masing-masing. Guru perlu memberi peluang kepada semua pelajar untuk menjawab soalan dan mengemukakan soalan atau pandangan terhadap sesuatu perkara yang dibincangkan.

Interaksi lisan dalam proses perjalanan aktiviti seni yang dirancang merupakan perbincangan guru dengan pelajar serta pelajar dengan pelajar berasaskan tajuk dan kerja yang sedang dihasilkan. Pelajar haruslah dibenarkan bergerak dalam bilik darjah untuk melihat dan membincang kerja dengan rakan-rakan.

Di peringkat penutup pelajaran pula, pelajar haruslah terlibat sepenuhnya dalam aktiviti penilaian dan apresiasi hasil kerja untuk memberi latihan mengkritik secara raisonal dan memikirkan secara logik.

Penyertaan pelajar dalam pelajaran Pendidikan Seni juga meliputi penyertaan dari segi membantu guru mengedar, menyusun, dan mengumpul semula tugas alat/ bahan seni yang digunakan. Ini bermakna guru seni perlu memberi tugas-tugas tertentu kepada pelajar untuk membiasakan mereka dengan rutin tatakerja bagi memupuk sahsiah selaras dengan kehendak KBSM.

Iklim Bilik Darjah

Iklim bilik darjah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni sama ada di bilik seni ataupun di sebuah bilik darjah biasa, merangkumi keadaan fizikal dan suasana pembelajaran yang sesuai dan kondusif untuk sesuatu pelajaran.

Dari aspek fizikal, guru seni hendaklah berusaha menentukan bahawa bilik darjah atau bilik seni adalah bersih, susunan perabot adalah teratur dan sesuai untuk aktiviti yang akan dijalankan. Sudut seni untuk pameran contoh-contoh hasil kerja pelajar perlu ada dan diuruskan dengan menarik dan kemaskini.

Di bilik seni, pengujudan dan pengurusan sudut seni adalah tanggungjawab guru kanan mata pelajaran. Kemudahan dan kelengkapan yang terdapat di bilik seni hendaklah diuruskan dengan sempurna.

Untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang baik bagi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni, guru Seni hendaklah memberi perhatian secukupnya kepada ciri-ciri yang berikut:

a. Sikap dan semangat guru terhadap pelajaran adalah positif;
b. Guru dapat mewujudkan motivasi yang tinggi di kalangan pelajar;
c. Jenis aktiviti serta mengekalkan minat pelajar;
d. Perhubungan guru-pelajar adalah mesra;
e. Guru mempunyai sifat kecintaan yang sihat;
f. Guru peka terhadap keperluan setiap pelajar;
g. Waktu pembelajaran akademik adalah maksimun;
h. Suasana bilik darjah selesa di sepanjang pelajaran;
i. Disiplin kelas terkawal.


Pemupukan Nilai-nilai Estetika dan Etika

Melalui pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni peluang untuk pelajar memperkembangkan bakat dan minat mereka dalam bidang seni serta menghargai unsur seni dan budaya dapat dipupuk. Justeru itu, penikmatan kepada nilai-nilai estetika merupakan faktor mustahak dalam pembelajaran.

Dari semasa ke semasa, pelajar patut didedahkan kepada bahan rujukan mengenai bagaimana pelukis dan pakar seni dari berbagai kebudayaan dan zaman menghasilkan karya-karya mereka.

Lawatan dan kerja-kerja luar seperti di luar kawasan sekolah hendaklah diatur untuk memupuk dan mengembangkan minat dalam seni dan ianya hendaklah dirancang supaya berkaitan dengan gerakerja-gerakerja lain di luar bilik darjah.

Di samping itu, filem-filem dan gambar slaid seni boleh membantu pelajar dalam pengkajian pemahaman dan penghargaan. Guru mestilah menggunakan bahan rujukan seperti risalah, cetakan semula gambar, fotograf, berita-berita dan sebagainya untuk menggalakkan perbincangan tentang tajuk-tajuk mengenai seni halus dan seni gunaan.

Penerapan Nilai-nilai Murni

Nilai-nilai yang harus diserapkan adalah mengikut struktur hubungan yang rapat sekali dengan pelajar seperti keluarga, rakan sebaya dan sekolah. Struktur hubungan ini berkembang pula ke arah hubungan individu dengan masyarakat dan institusinya hingga ke peringkat negara dan antarabangsa.

Bagi membolehkan nilai-nilai murni diserap secara berterusan ke dalam diri pelajar, nilai-nilai tersebut hendaklah diajar pada setiap peringkat persekolahan. Dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni , guru bolehlah menggunakan prinsip nilai-nilai murni beserta pengajaran merentas kurikilum dan kefahaman seni adalah asas kepada strategi kesepaduan.

Beberapa contoh strategi penyerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni adalah seperti berikut :

a. Memilih tajuk-tajuk untuk aktiviti menggambarkan yang dapat memperlihatkan nilai-nilai sosial seperti kerjasama, semangat kemasyarakatan, kesyukuran, kerajinan dan nilai-nilai positif lain.

b. Melalui aktiviti kumpulan, nilai-nilai seperti kerjasama, hormat menghormati, bertimbangrasa dan lain-lain dapat dipupuk.

c. Melalui aktiviti individu yang berasaskan kaedah inkuiri penemuan guru dapat menyerapkan nilai berdikari, berhemah tinggi, jujur, yakin, bersifat rasional.

d. Melalui pengajaran aspek pemahaman dan penghargaan, guru dapat menyerap nilai-nilai murni di kalangan murid seperti merasa bangga terhadap budaya dan warisan kebangsaan, menghayati alam semulajadi dan lebih peka terhadap pemeliharaannya.

e. Nilai-nilai etika kerja seperti kebersihan, cermat, tekun , sabar, ingin mencuba dan sebagainya haruslah sentiasa ditegaskan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni sebagai amalan harian berterusan.


Penilaian Dalam Pendidikan Seni

Bagi menentukan kemajuan pembelajaran dalam Pendidikan Seni, cara penilaian yang betul dan sesuai perlu diusahakan. Dengan ini pengajar akan mengetahui tahap keberkesanan pengajarannya .Masalah yang timbul dalam penilaian pelajar ini ialah cara menentukan tahap kebolehan itu. Dalam konteks penilaian dalam Pendidikan Seni, masalah ini boleh dirujuk kepada :

a. Bidang yang patut dinilai;
b. Kekerapan penilaian; dan
c. Bentuk pelaporan.

Bidang yang patut dinilai :

a. Melihat kepada objektif mata pelajaran Pendidikan Seni, tiga perkara penting yang perlu dicapai oleh pelajar telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni ialah:

i. Pengetahuan dan pemahaman seni;
ii. Kebolehan pelajar mengolah unsur-unsur seni asas dalam menghasilkan kerja-kerja seni dan kraf tertentu serta kemampuan memanipulasikan alat dan bahan.
iii. Pengalaman sifat-sifat dan nilai yang baik semasa mengikuti pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini dan seterusnya dalam situasi-situasi yang lain.

b. Daripada rangkuman objektif yang terbahagi kepada tiga perkara itu, ternyata tiga bidang penting dalam konteks pendidikan iaitu kognitif, psikomotor dan efektif ditegaskan dalam pengajaran Pendidikan Seni. Oleh yang demikian, pencapaian dan kebolehan pelajar dalam ketiga-tiga bidang ini perlu dilihat dalam proses menilai kemajuan pelajar.

Bidang Kognitif

a. Dalam bidang kognitif, tujuan penilaian ialah untuk mengesan perkembangan intelek dan pemahaman pelajar dalam berbagai-bagai aspek Pendidikan Seni. Ujian secara bertulis dan lisan adalah difikirkan cara paling sesuai untuk tujuan ini.
b. Pembentukan soalan juga adalah perkara penting untuk dipertimbangkan dalam bidang kognitif ini. Soalan yang dibentuk akan menggambarkan penekanan pembelajaran secara keseluruhannya. Jenis-jenis soalan hendaklah meliputi soalan ingatan , kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian.



Bidang Psikomotor

Bidang ini yang berkaitan dengan penguasaan kemahiran dan kreativiti pelajar amat penting kerana hanya perkembangan kemahiran dan kreativiti yang memuaskan boleh menentukan hasil kerja seni yang baik. Untuk menilai kemajuan pelajar dalam bidang ini dicadangkan proses penghasilan kerja dan hasil kerja yang telah siap diambil kira dalam dalam penilaian penguasaan kemahiran dan kreativiti pelajar. Ini bermakna tugas “membimbing dan memperbaiki kelemahan pelajar” dilakukan semasa pelajar sedang menghasilkan kerjanya. Proses dan teknik amat perlu dilihat dan kebolehan ketika itu dikira sebagai sebahagian dari penguasaan kemahiran sebenar pelajar.

i. Penilaian Proses dan teknik

Penilaian dalam bahagian “proses dan teknik” adalah dilakukan melalui pemerhatian. pelajar akan diperhatikan dari segi kemampuan dan kebolehan mereka menggunakan alat dan bahan serta prosedur-prosedur yang harus dilakukan dalam satu-satu aktiviti tertentu.

ii. Penilaian Hasil Kerja

Antara kriteria-kriteria untuk menilai hasil kerja termasuk :

- Keaslian
- Persembahan
- Proses dan teknik
- Interpretasi
- Gubahan
- Kemasan
- Penggunaan bahan
- Kesesuian hasil kerja dengan tajuk


Bidang Afektif

a. Penilaian dalam bidang afektif perlu melihat aspek perkembangan emosi dan perlakuan pelajar semasa menjayakan kerja serta pergaulannya dengan pelajar-pelajar lain. Ini termasuklah perkara-perkara seperti :

i. Reaksi terhadap kerja-kerja seni yang hasilkan oleh pelajar dan rakan-
rakannya;

ii. Menunjukkan semangat berkerjasama, bertolak ansur dan sabar dalam menghasilkan kerja, memberi pendapat dan berkongsi menggunakan alat / bahan dan maklumat.

b. Antara cadangan nilai-nilai yang sesuai diperhatikan dalam penilaian bidang afektif mata pelajaran ini ialah baik hati, bersih, ingin membantu, kreatif, inovatif dan sebagainya.

Kekerapan Menilai

Oleh kerana konsep penilaian yang perlu diamalkan dalam KBSM bercorak berterusan adalah wajar sekali bdang psikomotor dan afektif dinilai secara berterusan. Oleh kerana bidang kognitif bertujuan untuk menilai pengetahuan yang diperolehi, dicadangkan, bidang ini dinilai sekurang-kurangnya dua kali setahun. Dalam bidang psikomotor adalah baik jika setiap hasil kerja pelajar dinilai dan kemudian dikumpulkan markah dan gred pencapaiannya bagi tujuan pelaporan keseluruhannya. Cara ini boleh menampakkan keadilan berbanding dengan menilai satu sahaja hasil kerja seni di akhir penggal umpamanya. Begitu juga dalam bidang afektif yang bertujuan untuk menunjukkan perkembangan amalan sikap positif.


Bentuk Pelaporan

Dalam penilaian pelajar untuk Pendidikan Seni, bentuk pelaporannya boleh menimbulkan isu-isu tertentu, terutamanya dalam aspek memberitahu tentang tahap kemahiran pelajar dan juga sikap dan nilai. Walaupun demikian keadaannya, dibawah ini diterangkan dua contoh pelaporan:

i. Gred

Sistem ini adalah berdasarkan kepada markah yang diperolehi oleh pelajar, contohnya adalah seperti berikut:


Gred Markah

A 80 - 100
B 60 - 80
C 40 - 59
D Kurang dari 40.

ii. Sistem Deskriptif

Sistem deskriftif ini memerlukan guru memberi ulasan/ huraian mengenai kekuatan dan kelemahan pelajar secara keseluruhan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan. Ulasan/ Huraian yang diberi itu berpandu kepada rekod gred/markah yang diperolehi.

1 ulasan:

  1. Jackpotcity Casino site - Get 300% Up To €300
    Jackpotcity Casino · 카지노 1. Slots 인카지노 · 2. Jackpotcity Casino · 3. Blackjack · 4. Roulette · 5. Keno · 6. Keno · 7. Pai Gow Poker · 8. Let It 샌즈카지노 Ride

    BalasPadam